Shah Alam: Penggiat industri seni tidak seharusnya dijadikan kambing hitam sebagai punca peningkatan gejala sosial hanya kerana menghasilkan karya yang memaparkan isu buli, keganasan dan konflik percintaan.

Pelakon Redza Rosli, 34, menegaskan naskhah yang mengangkat isu terbabit bertujuan membuka mata masyarakat terhadap realiti kehidupan, selain menyampaikan mesej dan pengajaran supaya penonton lebih peka terhadap kesan perbuatan negatif.

"Produksi yang mengangkat cerita berkaitan isu sosial sebenarnya mahu kita memahami bahawa perkara itu memang berlaku dalam masyarakat.

"Jika kita lihat isu semasa, macam-macam kes berlaku termasuk pembunuhan akibat putus cinta, selain buli yang berakhir dengan kematian. Sebenarnya, kita mahu membuka mata masyarakat terhadap perkara seperti ini.