SHAH ALAM: Pelakon Redza Rosli menegaskan penggiat industri lakonan dan perfileman tidak seharusnya dijadikan kambing hitam atau dipersalahkan sebagai punca gejala sosial hanya kerana menghasilkan karya yang memaparkan isu buli, keganasan dan konflik percintaan.
Redza, 34, berkata naskhah yang mengangkat isu berkenaan bertujuan membuka mata masyarakat terhadap realiti kehidupan, selain menyampaikan mesej dan pengajaran supaya penonton lebih peka terhadap kesan perbuatan negatif.
"Produksi yang mengangkat cerita berkaitan isu sosial sebenarnya mahu kita memahami bahawa perkara itu memang berlaku dalam masyarakat.
"Jika kita lihat isu semasa, macam-macam kes berlaku, termasuk pembunuhan akibat putus cinta, selain buli yang berakhir dengan kematian. Sebenarnya, kita mahu membuka mata masyarakat terhadap perkara seperti ini.






