INSIDEN serangan di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak baru-baru ini menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai keganasan dalam kalangan remaja, keselamatan sekolah dan pengaruh subbudaya dalam talian.
Namun, apa yang turut membimbangkan ialah betapa pantas spekulasi dipersembahkan sebagai fakta, dakwaan belum disahkan disebarkan secara meluas di media sosial dan mereka yang mempersoalkan dakwaan itu menjadi sasaran serangan peribadi serta gangguan dalam talian.
Mereka yang terbabit dalam perbuatan sedemikian perlu diingatkan kebebasan bersuara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bukan lesen untuk menyebarkan maklumat palsu memudaratkan, mengugut atau mengganggu orang lain, mahupun mencampuri pentadbiran keadilan.






