Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa dukacita mendalam terhadap kehilangan nyawa akibat insiden tragis perlanggaran kereta api di Sepanyol.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, Malaysia teguh bersolidariti dengan rakyat Sepanyol pada masa yang sukar ini.

"Ingatan dan doa kami bersama dengan semua mereka yang kehilangan insan tersayang, dan kami mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera," kata beliau.

Anwar turut memberikan penghormatan kepada petugas kecemasan dan mereka yang bekerja tanpa mengenal penat di lokasi kejadian.