Beirut: Ketua Hizbullah, Naim Qassem, berkata pergerakan Lubnan yang disokong Iran itu tidak mengambil kisah keputusan pilihan raya Israel, sambil berikrar meneruskan "penentangan" terhadap negara jiran itu tanpa mengira siapa yang menang, lapor AFP.

Dengan 85 peratus undi sudah dikira, blok sayap kanan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mendahului tipis berbanding blok pembangkang utama, namun masih belum memperoleh majoriti selepas pilihan raya pada Selasa.

"Kami tidak mengambil kisah siapa yang memerintah Israel, tetapi perlu ditegaskan bahawa negara itu tidak boleh terus menduduki wilayah kami dan mesti berundur," kata Qassem dalam kenyataan bertulis pada Rabu.

"Penentangan akan diteruskan... dan akan menentang pencerobohan yang menyasarkan pergerakan itu serta Lubnan. Tiada ruang untuk membincangkan pelucutan senjata Hezbollah selagi pendudukan berterusan dan pencerobohan masih berlaku," katanya.