Jakarta: Gempa bumi bermagnitud 6.2 melanda Laut Banda di timur Indonesia awal pagi Khamis, dengan gegaran dirasai di beberapa kawasan di Maluku dan Papua.
Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), Wijayanto, berkata gempa bumi itu berlaku pada jam 5.06 pagi waktu tempatan (6.06 pagi waktu Malaysia), dengan pusat gempa terletak kira-kira 203 kilometer barat laut Kepulauan Tanimbar di wilayah Maluku.
Beliau berkata, kekuatan gempa bumi itu pada awalnya dilaporkan bermagnitud 6.4, namun disemak semula selepas analisis lanjut, manakala kedalamannya dikemas kini kepada 164 kilometer.
"Berdasarkan hasil pemodelan tsunami, gempa bumi ini tidak berpotensi mencetuskan tsunami," katanya dalam kenyataan pada Khamis.









