Bangi: Belum bergelar graduan namun pemuda ini sudah meraih pulangan bersih mencecah RM3,000 sebulan hasil usaha mencari duit poket dengan menawarkan khidmat pemasangan, pembersihan dan membaiki penyaman udara di sekitar Lembah Klang.

Bukan setakat itu, Aizad Haikal Marzukee, 24, atau Aizad dapat berkongsi rezeki dengan memberi upah kepada rakan sekampus yang membantunya.

Penuntut semester empat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Sistem Penyejukbekuan dan Penyaman Udara Industri) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysia France Institute (MFI), di sini, itu berkata, kerja sambilan berkenaan dilakukan sejak awal Mei lalu kerana mahu memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang ada selain enggan bergantung dengan elaun pinjaman pembiayaan diterimanya.