KUALA LUMPUR: Pemilik sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang disyaki menyalahgunakan subsidi petrol dan diesel Budi Madani akan dibatalkan lesen sekiranya didapati bersalah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu sudah dirujuk kepada polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Laporan polis sudah dibuat dan sekarang siasatan sedang berlangsung membabitkan pelbagai pihak yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPDN.
"Di pihak KPDN, sekiranya didapati bersalah nanti, antara tindakan yang boleh kita laksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen barang kawalan berjadual (CSA) pemilik stesen minyak berkenaan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.









