KUALA LUMPUR: PKR tidak melihat penyertaan parti Parti Bersama (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai ancaman sebaliknya bersedia menghadapi persaingan bagi mendapatkan sokongan pengundi.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, setiap parti politik berhak untuk bertanding dan PKR perlu bersedia menghadapi persaingan termasuk sekiranya parti terbabit menyasarkan segmen pengundi yang sama.

“Secara umumnya semua orang berhak untuk bertanding. Jadi sebagai mana-mana parti politik kita kena bersedia untuk lawan, soal segmen pengundi yang sama ataupun tidak.

“Saya rasa itu sebahagian daripada strategi-strategi parti masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Pertahanan Geospatial di Wisma Perwira, hari ini.