KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, mengesahkan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PAS Pusat bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut politik Perlis, Isnin lalu.

Abu Bakar berkata, pertemuan dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, itu diadakan di ibu negara dengan keputusannya bakal diumumkan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau secara peribadi berharap pertemuan itu membuahkan keputusan positif bagi memastikan kestabilan politik di Perlis dapat dikekalkan.

Pada masa sama, beliau mengakui berdepan cabaran dalam usaha memastikan kestabilan negeri, memulihkan ekonomi dan memelihara kebajikan rakyat.