MOSCOW: Hartawan teknologi Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, sememangnya seorang genius kerana berjaya menempatkan ribuan satelit ke orbit, kata Presiden Russia, Vladimir Putin, ketika Moscow berusaha membangunkan rangkaian internet satelitnya sendiri.
Musk ialah pemilik SpaceX, syarikat yang melancarkan roket untuk Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) serta mengendalikan rangkaian komunikasi Starlink.
Russia, yang merupakan antara kuasa utama dalam penerokaan angkasa lepas, sekian lama berusaha membangunkan rangkaian satelit internetnya sendiri untuk kegunaan awam dan ketenteraan.
Kenyataan Putin itu dibuat ketika Ukraine dan AS berdepan pertikaian berhubung akses kepada Starshield, rangkaian satelit bertaraf ketenteraan yang dikuasakan oleh SpaceX milik Musk.









