LAS VEGAS: Seorang lelaki ditahan selepas sebuah pesawat membawa 150 penumpang dan enam anak kapal terpaksa berpatah balik ke Las Vegas susulan ancaman rampasan pesawat pada Sabtu lalu.

Dante Milne, 25, ditahan kerana disyaki membuat ancaman atau menyampaikan maklumat palsu berkaitan tindakan keganasan.

CBS News melaporkan, kejadian berlaku ketika penerbangan United Flight 1681 dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid di Las Vegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di New Jersey.

Seorang pramugara yang bertugas dalam penerbangan itu menyedari seorang penumpang menghantar mesej mengenai rancangannya untuk merampas pesawat sebelum segera memaklumkan kepada juruterbang.