KOTA BHARU: Beberapa syarikat dikesan mengambil kesempatan terhadap kebenaran eksplorasi yang diberikan oleh Kerajaan Kelantan dengan menjalankan kegiatan perlombongan haram di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, susulan itu tindakan penguatkuasaan sudah diambil terhadap syarikat terbabit, termasuk tangkapan dan penyitaan jentera yang digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Katanya, kebenaran eksplorasi hanya membolehkan syarikat menjalankan aktiviti tertentu bagi menentukan kesesuaian sesuatu kawasan untuk dilombong serta menganggarkan potensi hasil galian sama ada berbaloi untuk diusahakan atau sebaliknya.
“Bagaimanapun, kita dapati ada sesetengah syarikat yang hanya diberikan kebenaran untuk melakukan eksplorasi, tetapi apabila memasuki kawasan berkenaan, mereka menjalankan kegiatan perlombongan secara haram.









