BUTTERWORTH: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi lelaki berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kematian, minggu lepas.
Tertuduh, Nurfitrah Mohd Raziff, 25, yang juga ibu kepada tiga cahaya mata membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengabaikan bayi di bawah jagaannya di sebuah kediaman di Sungai Dua di sini, antara pukul 5.40 pagi hingga 10.15 pagi pada 19 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.









