KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi penekanan terhadap perlindungan data strategik dan maklumat sensitif supaya kekal di bawah kawalan Malaysia dari aspek perundangan, operasi dan teknikal.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara mekanisme yang ditetapkan ialah pematuhan keperluan residensi data, kawalan pemindahan data rentas sempadan, sekatan akses kepada penyedia perkhidmatan serta pengurusan kunci penyulitan oleh kerajaan di dalam negara.

“Penggunaan data rakyat dan sektor awam untuk melatih model kecerdasan buatan tanpa kebenaran bertulis kerajaan turut dilarang.

“Namun, pembangunan infrastruktur Awan AI Berdaulat Negara masih melalui proses penilaian dan perolehan, justeru spesifikasi akhir serta penyedia perkhidmatan yang akan dipilih belum dimuktamadkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.