Komitmen pelaburan domestik sebanyak RM120 bilion dalam tempoh lima tahun oleh enam institusi pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) membawa potensi besar kepada ekonomi Malaysia.
Namun, nilai sebenar komitmen ini bukan sekadar terletak pada jumlah modal yang disediakan. Lebih penting ialah keupayaannya merangsang pertumbuhan industri, memperkukuh syarikat tempatan dan menarik lebih banyak penyertaan sektor swasta.
Di sinilah Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) memainkan peranan penting. Dengan menggerakkan modal institusi ke arah pelaburan domestik, program ini berpotensi menyokong keutamaan ekonomi negara, di samping menjana pulangan komersial yang mampan.
Persoalannya, bagaimana modal sebesar ini dapat disalurkan kepada peluang yang tepat dan diterjemahkan kepada nilai ekonomi jangka panjang?









