Kuala Lumpur: Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank), memperuntukkan lebih RM1 bilion menerusi beberapa inisiatif strategik di bawah Belanjawan 2027 bagi memperkukuh daya saing pengeksport tempatan dan menyokong peralihan perniagaan kepada operasi rendah karbon.
Anak syarikat Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Kumpulan BPMB) itu akan menyalurkan pembiayaan dan perlindungan kredit eksport bagi membantu perusahaan tempatan mengembangkan perniagaan, meneroka pasaran antarabangsa serta mengurus risiko perdagangan global.
EXIM Bank menerusi kenyataan berkata, inisiatif berkenaan turut menyumbang kepada pelaksanaan program strategik bernilai lebih RM7 bilion yang diamanahkan kerajaan kepada Kumpulan BPMB.








