KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat katering didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan kuota pekerja asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0), tiga tahun lalu.
Hakim Muhammad Ilmami Ahmad menetapkan denda itu selepas tertuduh, Chua Keng Hiang, 73, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan dia yang juga pengarah syarikat PSSB Holdings (M) Sdn Bhd dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu itu didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen perjanjian sewaan (tenancy agreement) palsu bertarikh 1 Julai 2021 antara syarikat PSSB Holdings dan pemilik premis, Goh Leong Han, 65.









