PETALING JAYA: Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) memulakan operasi perkhidmatan Pemeriksaan Berkala dan Pemeriksaan Ulangan Berkala bagi kenderaan komersial ringan di cawangan baharunya di Kajang.
Perkembangan ini menandakan fasa kedua operasi di fasiliti berkenaan, sekali gus memperluaskan rangkaian perkhidmatan pemeriksaan yang tersedia kepada pelanggan.
Pelaksanaan secara berfasa ini mencerminkan komitmen Puspakom untuk memperluaskan kapasiti pemeriksaan dan meningkatkan kemudahan akses pelanggan di sekitar kawasan Kajang-Semenyih.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, dengan pemeriksaan kenderaan komersial kini tersedia, pengendali di Kajang, Semenyih, Beranang, Bangi dan kawasan sekitarnya mempunyai pilihan tambahan untuk memenuhi keperluan pemeriksaan kenderaan mereka.









