KUANTAN – Kegiatan menyewakan tayar lori dengan kadar antara RM100 hingga RM150 bagi membolehkan kenderaan melepasi pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dikesan dalam satu operasi penguatkuasaan di Gebeng, di sini, pada Rabu.Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang memaklumkan kegiatan itu terbongkar hasil Ops Bengkel yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang di sekitar daerah ini.Menurut kenyataan JPJ Pahang pada Jumaat, penemuan tersebut diperoleh menerusi pemeriksaan awal dan memerlukan siasatan serta penelitian lanjut oleh pihak berkaitan."Pemeriksaan mendapati terdapat sebuah premis yang menawarkan perkhidmatan penyewaan tayar lori kepada pengusaha dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM150 bagi tujuan melepasi pemeriksaan berkala PUSPAKOM."Penemuan itu sedang diteliti bagi tindakan lanjut," menurut kenyataan tersebut.Selain premis tayar lori berkenaan, pemeriksaan turut dijalankan di lapan bengkel kereta dan motosikal sekitar Kuantan."Hasil pemeriksaan mendapati terdapat premis yang menawarkan alat ganti dan aksesori kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, antaranya nombor pendaftaran, ekzos dan tayar motosikal."Susulan itu, JPJ telah memberikan nasihat serta peringatan kepada pengusaha premis terbabit berhubung penjualan aksesori berkenaan," katanya.Menurut kenyataan itu, KPDN turut mengambil tindakan terhadap sebuah premis dengan mengeluarkan notis kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga.Operasi bersepadu tersebut melibatkan 17 anggota penguat kuasa iaitu 10 anggota JPJ dan tujuh pegawai KPDN.JPJ Pahang menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta aspek keselamatan kenderaan sentiasa berada pada tahap terbaik.