KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat katering didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan perjanjian sewaan palsu bagi mendapatkan kuota pekerja asing di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0), tiga tahun lalu.

Hakim Muhammad Ilmami Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Pengarah PSSB Holdings (M) Sdn Bhd, Chua Keng Hiang, 73, yang turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Keng Hiang didakwa secara tidak jujur menggunakan sebagai tulen satu dokumen perjanjian sewaan (Tenancy Agreement) bertarikh 1 Julai 2021 antara Goh Leong Han, 65, dengan PSSB Holdings (M) Sdn Bhd, sedangkan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.