PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan membebaskan seorang ahli perniagaan daripada 122 pertuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu berkaitan pelaburan pembekalan peralatan perubatan bernilai lebih RM6 juta pada 2015.Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy membuat keputusan sebulat suara itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang melepaskan dan membebaskan N. Narendran, 46, pada Januari 2022.Hakim Muniandy ketika menyampaikan keputusan berkata Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi telah menilai beban pembuktian serta prinsip undang-undang dengan tepat sebelum membuat keputusan berkenaan.Beliau berkata ketiadaan mens rea atau niat jenayah pada peringkat awal transaksi, percanggahan material dalam pertuduhan serta ketiadaan bukti forensik berkaitan pemalsuan menyebabkan sabitan oleh Mahkamah Sesyen tidak selamat untuk dikekalkan."Kami juga mendapati bahawa pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan dari segi fakta mahupun undang-undang yang mewajarkan campur tangan rayuan."Sebaliknya, Mahkamah Tinggi telah dengan tepat mengenal pasti kecacatan asas yang 'fatal' dalam kes pendakwaan, menjadikan sabitan Mahkamah Sesyen tidak selamat untuk dikekalkan."Dengan ini, rayuan perayu ditolak sebulat suara. Perintah pelepasan dan pembebasan oleh Mahkamah Tinggi terhadap responden (Narendran) bagi 122 pertuduhan adalah sah dan dikekalkan," katanya.Hakim Muniandy berkata oleh kerana pertuduhan berkaitan pemalsuan bergantung rapat pada dakwaan penipuan asas yang gagal dibuktikan, pertuduhan menggunakan dokumen palsu di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan turut tidak dapat dipertahankan.Pada 9 April 2021, Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 24 sebatan terhadap Narendran selepas mendapati beliau bersalah atas kesemua pertuduhan, sebelum Mahkamah Tinggi pada Januari 2022 melepaskan dan membebaskannya.Mengikut pertuduhan, Narendran berdepan 105 pertuduhan menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya supaya mempercayai pesanan kerajaan negeri bagi pelaburan membekalkan peralatan perubatan pakai buang kepada sebuah hospital di Ipoh adalah tulen.Dia didakwa mendorong mangsa menyerahkan cek dan wang tunai antara RM20,000 hingga RM350,000 bagi pelaburan yang tidak wujud di empat lokasi antara Mei hingga Disember 2015, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.Narendran turut berdepan 17 pertuduhan menggunakan beberapa dokumen Pesanan Kerajaan Negeri Perak palsu sebagai tulen membabitkan kes dan mangsa sama, antara April hingga Oktober 2015, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 kanun sama.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling manakala Narendran diwakili peguam S. Meharaj, Nur Syazwani Hassan dan R. Vikraman. - Bernama