SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tetap yakin dengan kemampuan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk menaiki podium pada Grand Prix (GP) Malaysia minggu ini meskipun mengalami penurunan prestasi sejak beberapa pusingan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, beliau menyedari tekanan yang dihadapi pelumba berusia 19 tahun itu, namun yakin Hakim Danish mampu menyerlah apabila beraksi di litar sendiri.

"Bagi Hakim Danish, kami tidak perlu memberikan tekanan (tambahan) kepadanya kerana tekanan yang diterimanya sekarang memang sudah sedia ada.

"Saya percaya semua orang mengharapkan sekurang-kurangnya dia menamatkan perlumbaan dengan kedudukan podium di sini. Tapi kita kena lihat dari segi persiapan, strategi dan juga mental dirinya.