Johor Bahru: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menyiasat dakwaan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang selepas sungai berkenaan didakwa bertukar putih yang tular di media sosial, semalam.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, siasatan dijalankan sebaik pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, keadaan sungai didapati kembali normal dan tidak lagi berwarna putih ketika pegawai JAS tiba di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

"Apabila sampai di lokasi, sungai sudah tidak berwarna putih lagi. Jadi, kemungkinan kejadian itu berlaku akibat pembuangan bahan ke dalam sungai secara sekali sahaja," katanya.