PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan dikembalikan ke pasukan polis susulan keputusan menamatkan penempatan secara pinjamannya di agensi itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan berkenaan dibuat minggu lalu.

"Keputusan untuk mengembalikan beliau daripada penempatan secara pinjaman di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia kepada pasukan polis sudah dibuat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata status perkhidmatan Shuhaily di AKPS dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan sebelum sebarang keputusan berkaitan penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.