Kulim: Seorang penunggang motosikal yang terlantar dan hilang upaya kekal akibat kemalangan jalan raya lapan tahun lalu memperoleh ganti rugi RM1.94 juta di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Mohd Azhar Hamzah memutuskan pemandu kereta, Asmah Hassan, 44, bertanggungjawab sebanyak 90 peratus terhadap kemalangan pada 27 Mei 2018 yang menyebabkan S. Kovarthan mengalami kecederaan otak yang teruk.

Berdasarkan dokumen keputusan mahkamah bertarikh 23 Oktober lalu yang diperoleh media pada Rabu, mahkamah mendapati Asmah cuai apabila memasuki laluan bertentangan bagi mengelak kon trafik berhampiran kawasan mendapan tanah tanpa memastikan keadaan benar-benar selamat.

Bagaimanapun, Kovarthan didapati menyumbang 10 peratus kecuaian kerana menunggang terlalu hampir dengan garisan berkembar di tengah jalan dan tidak berada di sebelah kiri laluannya.