PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan seorang lelaki asal Bangladesh memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada 2025 mengikut peruntukan undang-undang, susulan dakwaan di media sosial yang mempersoalkan kesahihan MyKad dan status kewarganegaraan dua individu.
Menurut JPN, lelaki itu memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19 (1) Perlembagaan Persekutuan secara teratur serta mengikut prosedur ditetapkan.
“Lelaki itu juga merupakan suami kepada seorang wanita warganegara Malaysia dan telah memegang status Penduduk Tetap (PR) sejak 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Isu itu menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads mempersoalkan tangkap layar mengenai seorang wanita yang dipercayai warga asing tetapi memiliki MyKad.









