Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan kewarganegaraan lelaki berasal dari Bangladesh yang tular di media sosial diperoleh mengikut undang-undang manakala kes wanita yang didakwa warga Pakistan, masih dalam siasatan lanjut.
JPN dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penyebaran maklumat dan dakwaan di media sosial yang mempertikaikan kesahihan MyKad serta status kewarganegaraan dua individu berkenaan yang menjadi perhatian masyarakat.
Menurutnya, bagi kes pertama, berdasarkan semakan rekod rasmi JPN, lelaki yang berasal dari Bangladesh berkenaan memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui naturalisasi.
Katanya, ia mengikut Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2025, secara teratur dan mengikut peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.









