GEORGETOWN: Seorang mekanik dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan menganiaya haiwan selepas didakwa menyeret seekor anjing yang diikat pada motosikal, bulan lalu.

Lee Beng Hooi dan Yeoh Keat Chye, masing-masing berusia 62 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menyeret seekor anjing betina berwarna hitam yang diikat menggunakan rantai besi di atas permukaan jalan dengan motosikal.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada haiwan berkenaan.