GEORGE TOWN : Dua lelaki warga emas mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengikat dan menyeret seekor anjing dengan menaiki motosikal, bulan lepas.
Tertuduh, Lee Beng Hooi dan Yeoh Keat Chye, kedua-duanya berusia 62 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa telah menyeret seekor anjing betina berwarna hitam yang diikat dengan seutas rantai besi di atas permukaan jalan menggunakan motosikal jenis Honda EX5 hingga menyebabkan haiwan itu mengalami kesakitan yang tidak sepatutnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lorong belakang deretan rumah teres di Jalan Hijau Empat hingga ke sebelah rumah No. 367A, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim di sini, antara pukul 6.26 hingga 6.30 petang pada 23 September lalu.









