Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Rizky Febian mendedahkan sedang menunggu 'lampu hijau' daripada isterinya Mahalini untuk melancarkan semula lagu hits Sisa Rasa nyanyian asal penyanyi wanita itu.

Rizky, 28, berkata dia kini dalam proses memujuk Mahalini bagi mendapatkan keizinan untuk melancarkan lagu berkenaan dalam versi penceritaan tersendiri.

"Saya baharu sahaja membuat hantaran video di TikTok untuk meminta bantuan peminat memujuknya. Kata Mahalini, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

"Tetapi doakan sahaja, semoga lagu Sisa Rasa versi saya ini diberikan keizinan untuk dilancarkan kelak," katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Malam Rawan Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur, semalam.