Johor Bahru: Sektor pelancongan kesihatan Johor merekodkan hasil RM106.8 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, didorong peningkatan ketibaan pelancong dari beberapa pasaran antarabangsa utama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, jumlah pelancong kesihatan dari Singapura, China, Vietnam dan India masing-masing meningkat lebih 10 peratus dalam tempoh berkenaan.

Katanya, China mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 34 peratus, diikuti Singapura dengan peningkatan sekitar 26 peratus.

"Perkembangan ini mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong antarabangsa terhadap kualiti perkhidmatan kesihatan di Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.