KUALA LUMPUR: Paragon Globe Bhd (PGB) menjangkakan keuntungan bersih pro forma yang dianggarkan sebanyak RM187.43 juta daripada cadangan penjualan tanah di Tanjung Kupang, Johor, bernilai RM398.11 juta setelah mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu memaklumkan, pemegang saham meluluskan penjualan tanah seluas kira-kira 26.30 hektar kepada DayOne Data Centers Malaysia I Sdn Bhd pada mesyuarat agung luar biasa yang diadakan hari ini, dengan 99.99 peratus undi menyokong cadangan berkenaan.

Menurut PGB, berdasarkan kedudukan kewangannya yang diaudit setakat 31 Mac 2026 dan dengan andaian urus niaga itu selesai, aset bersih sesahamnya akan meningkat daripada 64 sen kepada 89 sen, manakala nisbah penggearan akan menurun daripada 1.06 kali kepada 0.68 kali.