JOHOR BAHRU – Seorang penyelia bengkel menarik nafas lega apabila dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 213.74 gram oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas hampir enam tahun berada dalam tahanan.

Hakim Kan Weng Hin membuat keputusan itu terhadap Cheng Wen Pin, 43, pada akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya mematahkan anggapan statutori, sekali gus menyebabkan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan tujuh saksi manakala pihak pembelaan memanggil tiga saksi termasuk tertuduh sendiri.

Mengikut pertuduhan, Wen Pin didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 213.74 gram di sebuah rumah di Jalan Rumbia 68, Taman Daya, di sini kira-kira pukul 2 pagi pada 31 Oktober 2020.