KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan mencipta identiti Datuk palsu bagi memperdaya orang ramai menyertai skim pelaburan mata wang asing (forex) dan emas tidak wujud yang kononnya menawarkan keuntungan lumayan.

Malah, sindiket terbabit turut dikesan menyalahgunakan imej Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong serta pegawai kanan polis, termasuk Ketua Polis Negara dan bekas Ketua Polis Negara bagi mewujudkan gambaran seolah-olah skim itu mendapat sokongan pihak berkuasa.

Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sindiket berkenaan menggunakan imej seorang wanita dikenali sebagai Yang Xiaoying atau Xenia yang mendakwa dirinya bergelar Datuk dari Melaka serta duta kebajikan sebuah pertubuhan amal.