KUALA LUMPUR: Individu tidak bertanggungjawab dipercayai menggunakan imej wanita yang dijana kecerdasan buatan (AI) dan menyamar dengan gelaran Datuk bagi menarik orang ramai menyertai skim pelaburan dan kegiatan amal.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, berkata pihak yang disyaki terbabit turut menggunakan identiti beberapa tokoh terkenal negara bagi meyakinkan orang ramai bahawa wanita berkenaan mempunyai hubungan dengan individu berpengaruh.

Beliau berkata, antara identiti yang didakwa digunakan termasuk Perdana Menteri, bekas dan penyandang Ketua Polis Negara.

Katanya, modus operandi itu dipercayai menggunakan gelaran kehormat dan hubungan dengan tokoh berpengaruh untuk membina kepercayaan sebelum menarik minat orang ramai terhadap peluang pelaburan dan aktiviti kebajikan.