KUALA LUMPUR: Sebelas kelab Liga Malaysia (Liga M) yang berdepan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu segera menyelesaikan tunggakan hutang dengan bekas pemain masing-masing bagi mengelak imej bola sepak negara terus tercalar.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kelab terbabit tidak boleh mengharapkan badan induk itu atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyelesaikan masalah kewangan yang berpunca daripada kegagalan mereka sendiri memenuhi tanggungjawab terhadap pemain.
Beliau yang juga Presiden MFL menambah, isu tunggakan gaji dan hutang kepada bekas pemain perlu ditangani secara serius kerana kegagalan berbuat demikian bukan sahaja menjejaskan kebajikan pemain, malah memberi gambaran negatif terhadap bola sepak tempatan.









