KUALA LUMPUR: Lima negeri mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh melebihi kadar nasional 4.0 peratus pada 2025 dengan Johor merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 6.6 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, negeri lain yang mengatasi pertumbuhan nasional ialah Selangor dengan 5.3 peratus, diikuti Sabah dan Pulau Pinang masing-masing 5.0 peratus serta Perak sebanyak 4.3 peratus.

Dalam penerbitan Produktiviti Buruh Mengikut Negeri, 2025 yang dikeluarkan hari ini, DOSM berkata pertumbuhan produktiviti buruh Malaysia meningkat kepada 4.0 peratus pada 2025 berbanding 3.7 peratus pada 2024.

Nilai ditambah bagi setiap penduduk bekerja turut meningkat kepada RM104,556 seorang berbanding RM100,570 pada tahun sebelumnya, selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.2 peratus.