KUALA LUMPUR: Komuniti Malaysia di Namibia, baru-baru ini mengadakan Hari Terbuka Malaysia 2026 memperkenalkan kepelbagaian budaya, warisan, gastronomi dan seni kreatif negara serta tayangan istimewa animasi popular Upin & Ipin.

Program yang berjaya menghimpunkan 200 orang itu turut disertai masyarakat Malaysia serta komuniti antarabangsa di Windhoek International School, Windhoek.

Kuasa Usaha Sementara di Suruhanjaya Tinggi Malaysia Windhoek, Khornelisman Jasri, berkata penganjuran program itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh diplomasi awam melalui pendekatan yang dekat dengan rakyat menerusi kebudayaan, makanan, pendidikan.

Katanya, interaksi masyarakat pada program berkenaan juga menjadi wahana untuk meningkatkan persefahaman serta mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.