JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pengawal keselamatan daripada tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 715.24 gram di Taman Rinting, lima tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, P. Kathiravan yang berusia 33 tahun.
Dalam hujahan penghakimannya, Abdul Fareed berkata, tiada keterangan yang membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai barang kes yang didakwa disimpan di dalam motosikal bernombor JKE3580.
Beliau berkata, pegawai penyiasat hanya merekodkan kenderaan Honda Odyssey dan kewujudan kunci motosikal tersebut tidak dinyatakan dalam laporan serbuan mahupun borang geledah, sebaliknya hanya direkodkan dalam Borang Serah Terima.










