Kuala Lumpur: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kini menggiatkan langkah pemulihan dan penambahbaikan ke atas aplikasi navigasi tempatan, TuJu, berikutan gangguan teknikal yang dialami pengguna.

Langkah itu diambil susulan peningkatan ketara jumlah pengguna aplikasi berkenaan selepas saranan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.

LLM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh pengguna sepanjang tempoh gangguan teknikal itu berlaku.

Menurut LLM, pihaknya bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB), sedang mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti punca utama gangguan berkenaan.