KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, susulan gangguan teknikal yang dialami aplikasi TuJu akibat peningkatan mendadak jumlah pengguna.

LLM dalam kenyataannya, berkata pihaknya bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.

"Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna.

"LLM memahami bahawa kepercayaan pengguna perlu dibina melalui mutu perkhidmatan yang boleh diharapkan," katanya, hari ini.