Kuala Lumpur: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melepasi RM4,600 satu tan pada November ini disokong penurunan pengeluaran bermusim dan penggunaan biodiesel yang berterusan, demikian menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC dalam kenyataannya berkata, pengeluaran MSM Malaysia dijangka berkurangan dalam tempoh lima bulan akan datang selepas mencapai kemuncak pada September lalu, sekali gus menyokong harga komoditi itu pada suku keempat 2026.

"Pengeluaran minyak sawit meningkat 16.4 peratus kepada 2.11 juta tan pada September, disokong peningkatan hasil buah tandan segar (BTS) dan kadar perahan minyak (OER) yang lebih baik.

"Bagaimanapun, pengeluaran dijangka memasuki fasa penurunan bermusim selepas mencapai paras tertinggi tahun ini pada September," katanya.