KUALA LUMPUR: Sektor minyak dan gas (O&G) bersepadu Malaysia dijangka mengekalkan prospek positif pada suku keempat 2026, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan daya tahan operasi, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
Dalam nota hari ini, RHB IB memaklumkan ketegangan yang kembali memuncak di Asia Barat telah mendorong harga minyak mentah Brent melepasi AS$100 setong, manakala gangguan perkapalan menyebabkan kadar tambang kapal tangki melonjak dengan ketara.
Menurut bank pelaburan itu, persekitaran harga minyak yang lebih tinggi dijangka menyokong aktiviti huluan, sementara kenaikan kadar tambang kapal tangki berpotensi memberikan manfaat kepada syarikat perkapalan.
"Walaupun tempoh kejutan bekalan itu masih tidak menentu, kami percaya sektor O&G Malaysia terus disokong oleh pelaburan huluan, aktiviti luar pesisir yang berdaya tahan dan pendapatan kontrak berulang," menurutnya.









