GUA MUSANG: Polis menahan dua lelaki dipercayai pengedar dadah dalam Op Tapis di pondok di dusun buahan di RKT Kesedar Meranto, di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, kira-kira jam 12.15 tengah malam.
Beliau berkata, pemeriksaan menemukan beg silang oren yang mengandungi bekas besi dan beberapa bungkusan plastik berisi pil disyaki dadah jenis Yaba.
"Dadah seberat 53.2 gram itu dianggarkan bernilai RM5,320 dan ujiian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Kedua-dua suspek berusia 36 dan 39 tahun juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.










