MELAKA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mempertahankan calon muda parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mohammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah.
Ia susulan dakwaan Mohammad Mukhlisul Mubin atau lebih dikenali Muklis Mubin, 25, menggunakan 'kabel' Perdana Menteri dan menyalahgunakan dana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Adly berkata, Muklis Mubin sebelum ini aktif sebagai sukarelawan dan berhak mengusahakan bantuan kepada rakyat menerusi kerjasama dengan agensi berkaitan.
Katanya, hubungan calon itu dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim adalah atas dasar persahabatan dalam parti yang sama.








