KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi pada Jumaat, disokong oleh minat belian terhadap saham mewah terpilih khususnya kaunter perkhidmatan kewangan, di tengah-tengah sentimen serantau yang bercampur-campur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.44 mata, atau 0.28 peratus, kepada 1,615.60 daripada paras 1,611.16 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 0.70 mata kepada 1,611.86 dan bergerak antara paras 1,606.72 hingga 1,620.76 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhannya negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 648 berbanding 430, manakala 501 kaunter tidak berubah, 1,201 kaunter tidak diniagakan, dan 66 kaunter digantung dagangan.