PETALING JAYA: Kejayaan kutipan filem tempatan mengatasi filem Hollywood tahun lalu mencerminkan perkembangan positif industri perfileman negara, sekali gus membuktikan potensi karya anak tempatan untuk bersaing dalam pasaran domestik.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac, berkata pencapaian itu turut memperlihatkan kepentingan sokongan berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem industri kreatif, khususnya menerusi insentif yang membantu penerbit pada peringkat penerbitan hingga selepas filem ditayangkan.

Beliau berkata, inisiatif seperti Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) dan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) membuka ruang kepada penerbit memperkukuh penghasilan karya, meningkatkan kualiti produksi dan merancang kelangsungan perniagaan dalam industri berkenaan.