Kekayaan bukan sekadar tentang mengumpul harta, tetapi bagaimana ia diperoleh, diurus, dilindungi dan dimanfaatkan untuk keluarga, komuniti setempat serta generasi akan datang.

Pendekatan itu menjadi asas Pengurusan Kewangan Islam, yang melihat perjalanan kewangan seseorang secara menyeluruh, daripada mengurus simpanan asas hingga merancang pemindahan serta pewarisan harta.

Perspektif ini penting kerana perancangan kewangan bukan sekadar demi menambah pendapatan atau mengembangkan aset, tetapi turut merangkumi tanggungjawab terhadap harta dan manfaat kepada orang lain.

Ketua Pengurusan Kewangan Islam, Maybank Islamic Berhad, Abdul Halim Abdul Rashid berkata pengurusan harta kekayaan bukan hanya mengenai wang, tetapi bagaimana seseorang mengurus tanggungjawab dan kehidupannya.