Kuala Lumpur: Liyana Durisic terus mengekalkan status sebagai pemain terbaik Malaysia selepas mengharungi pusingan kedua yang bercampur baur pada Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC), hari ini.
Liyana mencatatkan satu di atas par 73 untuk mengumpul keseluruhan empat di bawah par 140, sekali gus berkongsi kedudukan ke-28 bersama Lindy Duncan dari Amerika Syarikat (AS), Minji Kang dan Jin Hee Im dari Korea Selatan serta Achiraya Sriwong dari Thailand.
Walaupun permainannya tidak konsisten berbanding pusingan pertama, Liyana mengakui tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan selepas melakukan beberapa kesilapan sepanjang permainan.
Katanya, kesilapan terbesar berlaku di lubang ke-14 apabila dia mencatatkan double bogey, manakala kesilapan lain hanya membabitkan perkara kecil.









